Monday, 20 February 2017

Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi

Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi
Nilai-nilai aspirasi yang digagaskan dalam konsep 1Malaysia ialah nilai-nilai yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju.
Nilai-nilai aspirasi ini akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan ini seterusnya akan membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap.
Budaya Berprestasi Tinggi
Sifat memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang terbaik. Sikap sambil lewa atau “acuh tak acuh” tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju.
Tidak boleh wujud budaya ‘lebih-kurang’ iaitu sesuatu perkara dilakukan hanya setakat yang termampu tetapi bukan yang terbaik. Setiap perkara yang dijalankan haruslah mencapai tahap terbaik dan bertaraf dunia serta kepimpinan yang dijalankan adalah berasaskan prestasi.
Pengamalan budaya cemerlang dan berprestasi tinggi akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Budaya ini perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.
Budaya Ketepatan
Sebagai rakyat sebuah negara yang berhasrat mencapai status negara maju, rakyat Malaysia perlu dikenali dengan budaya ketepatan, termasuklah menepati waktu dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua tugas dan kewajipan.Perkhidmatan yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada kualiti yang bagus dan perlu dijalankan secara berterusan.
Ketepatan juga bermaksud setiap perkara termasuk tindakan, komunikasi, janji, masa dan ukuran haruslah dilaksanakan dengan tepat.
Budaya Ilmu
Sesebuah negara hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan untuk menimba ilmu sepanjang hayat. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan  berpengetahuan mengatasi  kekuatan ketenteraan.
Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan penge-tahuan dari segala-galanya. Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu dan mem-punyai minda yang sentiasa terbuka.
Integriti
Rakyat Malaysia perlu memiliki integriti yang tinggi dalam melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab agar bangsa dan negara sentiasa disegani dan dihormati oleh semua pihak.
Integriti merangkumi sifat-sifat amanah, bersih dan cekap dalam melakukan sebarang tugas dan melaksanakan tanggungjawab. Berusaha memperbaiki kesilapan dan setiap perkara serta tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi men-dapatkan hasil yang sempurna.
Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan.
Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepen-tingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.
Ketabahan
Ketabahan dalam mengharungi masalah dan cabaran yang mendatang. Rakyat Malaysia seharusnya bersifat tidak mudah mengaku kalah, sebaliknya perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi serta semangat juang yang kental dalam apa jua bidang yang diceburi.
Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.
Ketabahan dalam menghadapi per-ubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu. Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya. Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
Kesetiaan
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa    jua    keadaan. Kesetiaan    kepada Raja   dan   Negara, prinsip   kedua   Rukun Negara   wajib   dipegang   erat   oleh   setiap rakyat  negara  ini  tanpa  berbelah bahagi. Semua  kaum  perlu  mengutamakan kesetiaan  dan  kepentingan  kepada  negara mengatasi kesetiaan   kepada   kaum   dan kelompok sendiri. Kesetiaan sepenuhnya  kepada  negara Malaysia dan kesediaan untuk berbakti dan  berkorban demi negara yang tercinta.

Kesetiaan kepada pemimpin  atau ketua di  dalam  sesuatu  organisasi  adalah  teras kepada  kewibawaan,  keteguhan,  kejayaan dan kecemerlangan.  Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua    kerana organisasi yang berpecah  dan  tidak  setia  kepada  arahan ketua akan mengalami kehancuran.
Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.Kesetiaan perlu disertai dengan ke-upayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang kerana kesetiaan atau perhubungan yang membuta-tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai.
Kebijaksanaan
Cara berhadapan dengan sebarang masalah dengan penuh berhemah dan teliti agar tidak berlaku perkara-perkara yang menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak yang lain.
Nilai ini juga perlu diikuti dengan kebijaksanaan membuat sesuatu keputusan dengan tepat, tahu membezakan yang baik dan buruk, memiliki pemikiran dan pandangan yang tepat, bijak meletak sesuatu kena pada tempatnya serta tidak mudah terpengaruh dengan nafsu dan kepentingan sendiri.
Untuk memiliki nilai ini, beberapa ciri perlu dimiliki antaranya mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, cerdik, tetap dengan pendirian, memiliki kemahiran mendengar, berdisiplin dalam berfikir serta sentiasa siap sedia tanpa perlu terburu-buru.
Budaya Inovasi
Nilai ini adalah kesediaan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua lapangan yang kita ceburi. Rakyat Malaysia perlu dikenali sebagai individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing.
Kita mesti berani berubah demi kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam menangani masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis dalam setiap bidang yang diterokai.

Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

No comments:

Post a Comment